Ini adalah isu yang BK nak bagi perhatian jugak. Ada pihak yang mengeluarkan cakap-cakap kurang elok mengenai sebuah persatuan seni mempertahankan diri yang mengandungi silibus atau buah-buah yang pelbagai seperti pukulan, kuncian, kombat etc. Pada mereka aliran silat mereka sudah cukup dan sempurna sehingga tidak layak diubah.
Namun pandangan ini mula dipertikaikan kerana mereka juga telah cuba mengubah sedikit sebanyak pelajaran mengikut kesesuaian. Ini pada BK adalah sesuatu yang baik dan tidak salah kerana yang lebih utama adalah hasilnya. Pengubahsuaian adalah pemudahcara dan jalan singkat untuk mencapai hasil dan maksud. Sebagai contoh, jika kita ingin ke kedai membeli gula, walau jalan mana yang kita lalui atau menggunakan kenderaan mana, itu adalah perkara ke dua kerana yang dikehendaki adalah gula. Jika kita menggunakan motosikal, mungkin kita terpaksa berhenti untuk mengisi petrol, ia bergantung kepada keperluan.
Berdasarkan pengalaman BK yang baru berkecimpung dalam arena ini, sama ada bertanya dengan orang yang lebih tua dan berpengetahuan luas dalam seni silat atau bacaan-bacaan artikel, asal silat adalah satu guru. Namun guru ini tidak memberi pelajaran yang sama kepada setiap penuntutnya kerana setiap individu mempunyai nilai kelebihan yang tidak sama pada diri mereka. Ada yang bertubuh besar dan kuat namun agak lambat dari segi pergerakannya, ada yang bertubuh kecil tetapi tangkas gerakannya, ada yang bertubuh kecil dan tidak tangkas namun mempunyai daya pemikiran yang tajam dan strategik. Disinilah berlakunya pelbagai langkah dan gerak yang diajar oleh guru tersebut, berdasarkan kemampuan penuntut dan kelebihan padanya.
Antara nama besar dalam arena silat ialah Dato Meor Abdul Rahman, pengasas seni silat Gayong. permainan Gayong mempunyai kepelbagaian dan pecahan buah yang banyak, ini berlaku kerana Dato Meor mengajar muridnya cara mempertahankan diri. Dato mengajar buah dan pelajaran berdasarkan kemampuan dan kelebihan murid-muridnya. Jika diamati silat Gayong ini, setiap negeri boleh dikatakan mempunyai buah yang berlainan daripada negeri lain, namun falsafah buah adalah sama. Antara tujuan lain Dato tidak memberikan pelajaran yang sama kepada penuntutnya adalah agar murid-murid Gayong dapat bertukar-tukar pelajaran dan juga jalan untuk bersatu BK mengagumi Dato Meor daripada sudut ini kerana dapat memikirkan suatu matlamat jangka panjang.
Buah atau teknik pada dasarnya mempunyai matlamat atau falsafah tertentu, selagi matlamatnya tidak berubah, sebenarnya buah tersebut tidak mengalami perubahan.
No comments:
Post a Comment